Reaksi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 21 FEBRUARI 2020.

KEPUTUSAN sebulat suara Majlis Presiden Pakatan Harapan yang memberi mandat dan kepercayaan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menerajui negara serta diberi kebebasan untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa sepatutnya meletakkan titik noktah kepada polemik peralihan kuasa yang diperdebatkan selama ini.

Sedar atau tidak dalam tempoh hampir dua tahun PH memerintah antara isu yang mencetuskan polemik berpanjangan sehingga merungsingkan semua pihak ialah isu teka-teki tarikh peralihan kuasa ini. Walaupun secara konsisten Dr Mahathir mengulangi janjinya akan melepaskan jawatan selepas penganjuran Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November ini namun beliau terus diasak dan didesak oleh sekelompok penyokong parti dan individu tertentu untuk sama ada
melepaskan jawatan pada Mei ini atau memberikan tarikh spesifik selepas November.

Lebih pelik lagi apabila orang yang diwar-warkan sebagai pengganti atau bakal perdana menteri ke-8, iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah acap kali mengeluarkan kenyataan agar menyokong penuh pendirian Dr Mahathir
tersebut dan menyatakan sokongan kepada kepimpinan DR Mahathir, namun masih ada yang terus degil dan mempolemikkan isu ini.

Akibatnya situasi politik negara digambarkan huru-hara sehingga mencetuskan keraguan dan persepsi negatif terhadap kestabilan kerajaan. Rakyat pula semakin bosan dengan agenda politik murahan ini kerana kelihatan kelompok yang tidak berpuas hati masih cuba menegakkan benang yang basah dan terlalu banyak
berpolitik. Tidak keterlaluan untuk dikatakan golongan serpihan ini hanya berfikir tentang politik semata-mata sepanjang masa. Jadi sepatutnya keputusan konsensus terkini Majlis Presiden ini perlu diterima dengan jiwa yang besar oleh semua pihak
dan usah ungkit lagi isu peralihan kuasa ini. Biarlah Dr Mahathir menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk meletakkan jawatan tanpa sebarang tekanan mahupun desakan.

Sedarlah Dr Mahathir sebagai orang lama dalam bidang politik sudah masak dengan karenah dan sepak terajang politik seperti ini, dan beliau tahu apa patut dibuat bila tiba masanya. Tidak perlulah orang lain sibuk hendak tunjuk hebat umpama lebih sudu dari kuah. Kita juga perlu sedar Anwar sendiri dilihat selesa dan
boleh menerima situasi ini serta sanggup bersabar dan menunggu sehingga Dr Mahathir menetapkan tarikhnya.

Dengan keputusan ini juga kita berharap kerajaan boleh fokus dan terus melakukan perubahan yang diperlukan untuk membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat. Insaflah betapa peralihan kuasa bukan satu-satunya masalah yang sedang
kita hadapi sekarang, malah majoriti rakyat sudah tidak mempedulikan soal peralihan kuasa inipun. Hal ini kerana teralu banyak masalah lain yang sedang mencengkam kehidupan rakyat pada waktu ini. Misalnya, ancaman jangkitan virus Covid-19 masih terus membimbangkan dan menghantui rakyat. Di samping itu, masalah peningkatan kos sara hidup, pendapatan boleh guna yang semakin menipis, kenaikan harga barangan, ketidakstabilan ekonomi negara, kesukaran memiliki rumah mampu milik
serta peluang pekerjaan yang terhad adalah antara isu besar yang terus mencemaskan rakyat.

Jadi secara prinsipnya rakyat mahu kerajaan memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah-masalah besar rakyat seperti ini dan tidak melayan karenah politik sekelompok kecil penyokong parti mahupun individu yang masih tidak faham bahasa
dan mencetuskan huru-hara. Ingat, rakyat sudah memberi mandat kepada PH untuk memerintah sehingga PRU yang akan datang, dan perubahan yang telah berlaku ini adalah satu risiko yang terlalu besar yang telah diambil oleh rakyat. Oleh itu
janganlah mengecewakan harapan dan peluang yang telah diberikan ini. Malah perlu diingat juga, jika sekali rakyat boleh mengubah kerajaan, tidak mustahil untuk melakukannya semula dalam PRU yang akan datang. Jadi para pemimpin dan
penyokong PH tepuk dada dan tanyalah minda masing-masing sejauh mana mengutamakan agenda kebajikan rakyat dan pembangunan negara atau sudah bersedia untuk menjadi kerajaan sepenggal.

Penulis secara peribadi sebagai rakyat biasa merayu kepada semua pemimpin PH agar kembali ke landasan perjuangan asal. Fokus kepada usaha dan inisiatif untuk membangunkan rakyat dan negara mengikut acuan yang kita kehendaki. Untuk
merancakkan sektor ekonomi misalnya, buktikan kepada para pelabur tempatan dan luar negara bahawa keadaan politik negara masih stabil dan mereka boleh melabur dengan tenang dan selamat. Jujurnya kehidupan sebahagian besar daripada rakyat
kita cukup kritikal dan memerlukan bantuan kerajaan. Situasi semasa menunjukkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana cukup terkesan dengan kedudukan ekonomi negara kita sehingga dihimpit dengan masalah kewangan yang begitu
serius. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan ramai yang hidup kais pagi, makan pagi dan kais petang makan petang.

Oleh itu, kawal dan beri nasihat kepada semua penyokong masing-masing agar tidak keterlaluan dalam soal peralihan kuasa ini. Biarlah ianya berlaku bila tiba masanya. Bagi peluang kepada Dr Mahathir menggunakan segala pengalaman dan kemahiran
yang ada untuk meletakkan batu asas yang kukuh dalam usaha untuk membangunkan negara dan rakyat sebelum peralihan kuasa ini berlaku. Cukup-cukuplah berpolitik, sudah tiba masanya untuk fokus kepada pembangunan negara
dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED
TIMBALAN PENGARAH
PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast