DALAM dunia sekarang, terdapat pelbagai jenis sambutan hari sedunia, seperti International day of Awareness, International Women Day, International day of Peace dan sebagainya. Tetapi tidak pernah pula ada satu hari yang disambut untuk mempromosi subjek yang sangat popular dan bernilai iaitu matematik.  Matematik adalah satu bidang sangat tua. Ia merupakan suatu bidang ilmu yang merentas pelbagai bidang lain. Manusia pula tidak pernah berhenti bekerja untuk memperbaiki ilmu matematik ini. Manusia secara berterusan mahu mencari jawapan kepada persoalan apa itu matematik. Subjek ini unik kerana ia menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan manusia yang telah terbangun sejak lebih 5,000 tahun dahulu oleh Sumerian.

Sepanjang sejarah, kehidupan manusia sentiasa mengukur dan berkomunikasi tentang masa, kuantiti, kualiti dan jarak. Semua ini menjadi komponen utama dalam pembelajaran ilmu matematik. Ilmu matematik mendidik pelajar dengan kemahiran menyelesaikan masalah, berkomunikasi secara matematik dan membuat keputusan yang tepat.  Subjek ini penting dalam menyediakan tenaga kerja yang mampu memenuhi permintaan sebuah negara yang progresif. Oleh itu, bidang matematik menganggap peranannya sebagai memandu kuasa di sebalik pelbagai perkembangan dalam bidang sains dan teknologi.

Kesedaran masyarakat dunia tentang kepentingan bidang matematik menjadikan subjek ini sangat relevan dan terus berkembang. Malaysia tidak ketinggalan dalam hal usaha ini.  Malaysia komited untuk menjadi negara maju, khususnya dalam industri pembuatan dan perkhidmatan berasaskan kepada teknologi tinggi.  Oleh itu, bidang matematik profesional yang dipelajari di peringkat pendidikan tinggi diperlukan untuk kepentingan pembangunan negara. Aspirasi dan wawasan untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 tidak kesampaian kerana pelbagai faktor. Walaupun tidak berjaya, Malaysia seharusnya tidak sama sekali berhenti daripada berusaha untuk terus menjadi negara maju. Kita sangat perlu melihat kembali sejarah dan mempelajari daripada apa yang berlaku dan membentuk aspirasi baharu.

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu menjadi tunggak utama untuk memenuhi cita-cita negara menjadi negara maju. Untuk tujuan itu, kerajaan telah mensasarkan sejumlah 60% pelajar lepasan sekolah mengikuti kursus sains dan teknologi.  Namun begitu, kurang daripada 40% pelajar yang mengikuti aliran S&T di peringkat pendidikan tinggi. Hal ini tentunya sangat membimbangkan. Kekurangan prasarana aliran sains di peringkat sekolah menengah menyebabkan kurangnya mereka yang mengikuti kursus S&T. Ini menjadikan Malaysia ketandusan tenaga kerja mahir yang diperlukan dalam pembangunan negara maju yang moden. Negara kini ke arah pembangunan industri berteknologi tinggi.

Kelemahan ini berpunca daripada peringkat sekolah lagi. Sekolah aliran sains menjadi penyumbang utama kepada pelajar yang mengikuti program S&T di peringkat pendidikan tinggi. Subjek matematik adalah subjek teras penentu kecemerlangan seseorang pelajar dalam bidang S&T. Malangnya pencapaian matematik di Malaysia tidak boleh dibanggakan. Kita harus berasa sedih dan bimbang kerana peratusan pelajar yang cemerlang dalam subjek Matematik Tambahan adalah kurang daripada 40%. Matematik Tambahan adalah subjek elektif di sekolah menengah bagi memenuhi keperluan murid yang cenderung dalam bidang S&T. Pencapaian yang rendah ini memberi kesan selanjutnya di peringkat pendidikan tinggi. Rantaian masalah ini menyebabkan kecemerlangan dalam bidang S&T tergugat.

Isu kelemahan matematik seolah-olah menjadi masalah berterusan; dulu, kini dan selama-lamanya. Kita perlu mengatasi masalah ini dalam semua peringkat pendidikan termasuklah guru, silabus, pengurusan dan sebagainya. Kita akui terdapat banyak kelemahan dalam pelbagai aspek. Justeru kita perlu menangani dan mengatasi pelbagai kelemahan, supaya tidak menghasilkan perubahan yang berimpak tinggi. Oleh itu, tugas utama kita adalah untuk menarik minat pelajar dan masyarakat terhadap ilmu matematik. Pengalaman menunjukkan majoriti pelajar mempunyai persepsi negatif terhadap subjek matematik dan matematik tambahan.

Antara dapatan umum adalah subjek matematik susah, matematik tidak digunakan semasa berkerja, tidak tahu kerjaya apabila menguasai matematik dan sebagainya. Kesemua ini mendorong pelajar tidak minat subjek matematik. Kegagalan guru menyampaikan ilmu dalam pembelajaran dan pengajaran dengan baik juga mengurangkan minat dalam kalangan pelajar. Oleh itu, kita tidak boleh menyerahkan kepada guru semata-mata sahaja menyelesaikan masalah ini. Masyarakat perlu didedahkan kepada kepentingan ilmu matematik. Pada masa yang sama, usaha menarik minat ini hendaklah dilakukan dari peringkat usia muda lagi.

Masyarakat harus sedar bahawa usaha untuk menarik minat anak-anak untuk mempelajari ilmu matematik ini hendaklah menjadi tanggungjawab semua. Matematik untuk semua golongan masyarakat, bukan untuk segolongan elit komuniti sahaja.  Dalam perspektif Islam, matematik jelas tertera dalam kitab suci Al-Quran, hukum hakam dan muamalat yang tidak terlepas daripada ilmu matematik.  Justeru, sebuah akademi ditubuhkan dinamakan Akademi Ilmuwan Sains Matematik Malaysia (AISMM). Akademi ini berusaha untuk menjalinkan hubungan antara bidang ilmu dengan masyarakat. Ia juga boleh menjadi pusat rujukan kepada pembuat keputusan. Ahli-ahli dalam AISMM yang terdiri daripada profesor dan cendekiawan matematik perlu memasyarakatkan keilmuannya.

Atas kesedaran ini AISMM telah mengambil suatu inisiatif untuk bekerjasama dengan Kesatuan Matematik Antarabangsa (IMU) untuk mengadakan sambutan Hari Matematik Sedunia pada 14 Mac 2020. IMU adalah merupakan sebuah pertubuhan antarabangsa, berstatus badan bukan kerajaan (NGO), sebuah pertubuhan saintifik tidak berasaskan keuntungan. IMU telah mempromosi kerjasama antarabangsa dalam bidang sains matematik di semua peringkat.  Kerjasama itu merentasi dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke universiti, daripada rumah hinggalah ke kilang industri pembuatan, dari pasar hinggalah ke kawasan perladangan.

IMU juga menjadi ahli Majlis Sains Antarabangsa (ISC) yang berpegang kepada prinsip kebebasan, serta bertanggungjawab ke atas pensejagatan ilmu sains. IMU bertindak sebagai Pengerusi kepada sambutan Hari Matematik Sedunia yang akan diadakan di seluruh dunia. Hari ini juga dinamakan the phi π day (iaitu bersamaan 3.14, 2020).  semua usaha ini bertujuan untuk meletakkan bidang matematik di tempatnya yang sebenar dalam kalangan masyarakat.

Untuk menjayakan IDM2020, AISMM menjadi badan penganjur mewakili IMU dan bertanggungjawab mengkoordinasi perayaan ini di Malaysia. Jabatan Sains Matematik (JSM), UTM tidak ketinggalan untuk mempromosi ilmu matematik. Pihak UTM telah membuat keputusan untuk mengadakan IDM2020 di sebuah sekolah di dalam daerah Pontian. Sekolah yang terpilih dalam program kerjasama UTM dan AISMM adalah Sekolah kebangsaan Jeram Batu Pontian. SK Jeram Batu merupakan sebuah sekolah kebangsaan yang terletak di Kampung Jeram Batu.

Pada tahun 2014, Sekolah Kebangsaan Jeram Batu memiliki seramai 89 orang pelajar lelaki dan 73 orang pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 162 orang dengan guru seramai 16 orang. SK Jeram Batu telah diangkat menjadi Sekolah Amanah. Sekolah yang kecil ini telah membuktikan kemampuan mereka untuk memajukan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak. Hal ini disebabkan wujudnya hubungan yang erat antara guru, ibubapa dan komuniti di kawasan sekitar.  Sekolah ini dipilih sangat bertepatan dengan tema sambutan Hari Matematik Sedunia iaitu “matematik di mana-mana” (Mathematics is everywhere).  Dengan kerjasama yang telah lama dengan SK Jeram Batu, pihak Jabatan Sains Matematik UTM merasakan sangat bertepatan untuk melibatkan SKJB dalam sambutan ini.

Sambutan Hari Matematik Sedunia ini mempunyai matlamat yang sangat murni.  Antaranya untuk menggalakkan komuniti terlibat dalam ilmu matematik, mendedahkan penggunaan matematik dalam kehidupan seharian, menyuburkan minat matematik dalam kalangan murid sejak dari awal lagi, membangunkan persekitaran sekolah dan kawasan kondusif belajar matematik, membentuk pemikiran logik dan analisis dalam kalangan murid sekolah rendah, membangunkan sebuah Taman Matematik, menyedarkan murid dan komuniti bahawa matematik itu wujud dalam kehidupan dan akhir sekali menjadikan sekolah ini sebagai sekolah seliaan Jabatan Sains Matematik dalam bidang sains matematik.

Untuk menjayakan program tersebut, aktiviti ini telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Pontian dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Ini menjadikan program IDM2020 di SK Jeram Batu diangkat sebagai suatu program di peringkat negeri. Tidak kurang daripada 15 buah sekolah akan turut serta menghantar wakil untuk bersama-sama merayakan sambutan IDM2020 ini. Pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk ceramah matematik, pameran matematik di taman, permainan teng teng, mathematics puzzles, mathematics tree, mathematics explore-race dan banyak lagi. Pelajar dan masyarakat akan didedahkan tentang “matematik itu di mana-mana”.  Matematik ada pada siput, terdapat pada bunga matahari, pada pokok pinang, pada matahari dan juga bulan.  Banyak maklumat akan boleh dipelajari menerusi pameran yang akan diadakan nanti.

Sehubungan dengan itu, kami sangat mengharapkan ramai kanak-kanak sekolah, ibu bapa, dan pemimpin masyarakat dapat turut serta bagi menjayakan program IDM2020 di SK Jeram Batu, Pontian. Untuk keterangan lanjut, boleh berhubung terus dengan pihak sekolah, Guru Besar +60167730169 atau Dr. Izat Emit +601121383807.

Penulis adalah Profesor Matematik di Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, UTM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast