Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk meletakkan jawatan kerana kredibiliti beliau didakwa semakin punah di mata rakyat.

Gesaan itu dibuat selepas Tommy memberhentikan serta-merta prosiding terhadap 12 individu yang didakwa terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki mendakwa, keputusan itu adalah sejarah hitam dalam sistem perundangan negara apabila Peguam Negara membelakangkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi perjuangan Kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, keputusan itu juga telah mencetuskan beberapa polemik dan persoalan dalam minda rakyat.

Ini kerana, katanya, rakyat mempersoalkan apakah ini bakal menjejaskan kredibiliti badan penyiasat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), sedangkan dalam kenyataan awal polis mengatakan mereka mempunyai bukti kukuh penglibatan 12 individu terbabit.

Soalnya, adakah PDRM juga akan terkejut seperti mana yang berlaku kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum ini ketika prosiding perbicaraan Lim Guan Eng ditarik balik.

Artikel berkaitan:LTTE: Kenyataan penuh Peguam Negara

Hujah beliau lagi, bagaimanakah Tommy dapat menangani persepsi bahawa keputusan ini tiada kaitan politik untuk membebaskan pimpinan DAP, terutamanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri DAP iaitu P Gunasekaran (Seremban Jaya) dan G Saminathan (Gadek).

“Bagaimanakah Peguam Negara dapat menutup persepsi rakyat yang nampak seolah-olah berlakunya berat sebelah ketara berbanding pensabitan mereka yang terlibat memiliki, mengedar atau memaparkan propaganda-propaganda kumpulan pengganas IS/DAESH sebelum ini?,” soal beliau lagi.

Asyraf juga berkata, apakah yang akan terjadi pada Malaysia kelak sekiranya Peguam Negara terus menerus dilihat mengamalkan pendakwaan secara terpilih.

“Apakah rakyat dan pelabur akan merasa selamat lagi untuk tinggal di bumi Malaysia kini?,” tanyanya. – MalaysiaGazette