Anggota kumpulan militan Abu Sayyaf. foto Agensi

ZAMBOANGA CITY – Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro, Yusop Jikiri mendedahkan kumpulan pemberontak Abu Sayyaf akan menuntut wang tebusan daripada majikan lima warga Indonesia yang diculik di Malaysia.

“Tuntutan wang tebusan adalah mengarut dan tidak praktik. Bagi saya, saya tidak akan menunaikan permintaan mereka dan lebih gemar operasi menyelamat dilakukan daripada membayar wang tebusan,” katanya seperti dipetik Manila Bulletin.

Kelima-lima warga Indonesia itu diculik di Pulau Tambisan, Malaysia yang merupakan sebuah pulau di Laut Sulu pada 16 Januari lalu.

Pihak berkuasa mengenalpasti mangsa culik sebagai Arsyad Dahlan, 41 Arizal Kastamiran, 29, La Baa, 32, Riswanto Hayano, 27, dan Edi Lawalopo, 53.

Jikiri berkata, kumpulan Abu Sayyaf menahan lima nelayan warga Indoesia itu di kawasan hutan di bandar Patikul dan indanan di wilayah Sulu.

Komander Angkatan Tentera Filipina (Mindanao Barat), Leftenan Jeneral Cirilito Sobejana berkata, pihaknya telah mengerahkan anggota tambahan di Patikul dan sebahagian Indanan bagi melakukan operasi menyelamat.

Jikiri berkata, pasukan kerja anti penculikan dan anti keganasan MNLF memantau aktiviti kumpulan itu dalam usaha tentera melancarkan operasi menyelamat untuk membebaskan lima warga Indonesia tersebut.

“Kami mendapati daripada operasi risikan kami di lapangan bahawa kumpulan Abu Sayyaf merancang menuntut wang tebusan daripada majikan lima nelayan di Malaysia tetapi permintaan itu tidak diumumkan lagi,” kata Jikiri.

“Lima tebusan itu dikawal ketat oleh penculik mereka dan kami memantau pergerakan mereka bagi membolehkan tentera melakukan operasi menyelamat dengan berjaya,” katanya. – Agensi