Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran selepas hadir pada mesyuarat tergempar pemimpin di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 23 FEBRUARI 2020.

PETALING JAYA- “Apa yang saya tahu, Datuk Seri (Mohamed) Azmin (Ali) sudah keluar PKR manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah keluar Pakatan Harapan,”

Demikian kata Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran sejurus keluar dari menghadiri Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton malam ini.

Di saat semua pihak mengunci mulut dan membiarkan rakyat terus tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku pada hari ini, jawapan beliau mungkin boleh memberi sedikit pencerahan.

Namun begitu, Vigneswaran enggan mengulas lanjut perkara tersebut dan berkata apa yang sedang berlaku hanyalah sebahagian daripada proses demokrasi.

Katanya, tiada cerita mengenai penubuhan kerajaan baharu tetapi terdapat kemungkinan lebih ramai pemimpin yang dibawa masuk untuk bekerja lebih keras untuk kerajaan.

Jelasnya, sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional, MIC hanya mengikut sahaja apa yang diputuskan oleh parti tersebut.

Tambahnya, terdapat kemungkinan berlakunya usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dalam hal itu, MIC menurut beliau menyokong kepimpinan Perdana Menteri sebagaimana yang diarahkan oleh Pengerusi BN.

“Pembentukan kerajaan? Itu kamu perlu tanya Tun Dr. Mahathir. Saya hadir kerana memberi sokongan kepada komponen BN sahaja.

“Hari ini ada makan malam (tetapi) saya tidak pasti mengenai sebarang pengumuman. Apa yang saya tahu, MIC adalah sebahagian BN dan kami mengikut Pengerusi sahaja,” katanya lagi.

Tegas Vigneswaran, MIC sangat jelas dalam pendirian mereka iaitu mahukan pentadbiran negara diurus dengan baik terutamanya dari segi ekonomi dan pengurusan hutang.

“Jadi kami akan sokong apa yang betul. Yang sebetulnya kita tidak tahu juga jika ada sesiapa akan cuba mencabar atau membelakangkan Perdana Menteri.

“Mungkin apa yang ‘sedang’ berlaku ketika ini, ada yang cuba buat yang terbaik untuk untuk negara dan rakyat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rakyat Malaysia tertanya-tanya apa sebenarnya terjadi?