Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir Mesyuarat Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 24 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Istana Negara terus menjadi tumpuan hari ini selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ibrahim dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang ini.

Pertemuan Anwar dan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri susulan perkembangan politik semasa tanah air apabila terdapat desas-desus kerajaan pakatan baharu ditubuhkan.

Sejak semalam, kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikatakan berada dalam keadaan goyah apabila parti komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa mahu keluar gabungan itu selain beberapa ahli parlimen PKR yang mengambil tindakan sama.

Ia turut disahkan Anwar malam tadi apabila wujud usaha menumbangkan pentadbiran PH menerusi pembentukan kerajaan dan pakatan baharu membabitkan pemimpin Bersatu dan segelintir pemimpin PKR.

Sepanjang hari semalam, pemimpin daripada Bersatu, sebilangan kepimpinan PKR, UMNO dan GPS mengadakan mesyuarat tertutup dan perjumpaan khas di lokasi berlainan sebelum mereka dilihat bertemu di Hotel Sheraton, malam tadi.

Sementara itu, petugas media sudah berkumpul di pintu utama Istana Negara sejak pukul 9 pagi bagi memantau perkembangan terkini sama ada terdapat ahli parlimen yang ‘berkunjung’ ke sana.

Pagi tadi, Anwar dan Wan Azizah dilaporkan berada di pejabat dan kediaman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.