Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambaikan tangan kearah pengamal media yang dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di kediamannya yang terletak di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan kediamannya di Bukit Segambut pada jam 8.53 pagi tadi.

Ada sumber-sumber yang menyatakan Presiden Parti Keadilan Rakyat itu akan mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada jam 9 pagi ini.

Beliau meninggalkan kediaman menaiki kereta Lexus hitam KCS 727 diiringi kereta pengiring.

Para pengamal media yang berkampung di hadapan kediaman Anwar tidak mendapat sebarang reaksi beliau.

Beliau sempat menurunkan cermin pintu belakang dan melambai tangan ke arah wartawan yang berkumpul di hadapan pintu masuk kediaman beliau seawal 7 pagi lagi bagi melaporkan perkembangan terkini.

Beliau sempat ditanya tentang destinasinya namun Anwar  sekadar melemparkan senyuman ke arah wartawan.

“Pergi kerja…kerja kat ofis,” katanya secara ringkas kepada pertanyaan wartawan apabila ditanya destinasi beliau.

Semalam negara dan rakyat digemparkan dengan mesyuarat beberapa parti politik melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak dan Warisan.

Tindakan itu dikaitkan dengan berita kononnya Azmin akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat.

Manakala, Dr Mahathir yang juga Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan menubuhkan Pakatan Nasional yang akan berganding dengan Barisan Nasional dan Pas.

Spekulasi semakin hangat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin lain dikhabarkan  menghadap Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah di Istana Negara selepas 5.30 petang semalam.

Kenderaan pemimpin pemimpin berkenaan dilihat memasuki dan meninggalkan istana beberapa jam kemudian.

Suasana menjadi panas lagi apabila kesemua pemimpin parti parti berkenaan  berkumpul di Majlis Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton Petaling Jaya malam tadi.

Manakala Anwar dalam satu majlis di kediamannya menyifatkan ada pengkhianat PKR yang cuba mewujudkan kerajaan baru.

Anwar dan Wan Azizah dilapor akan mengadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 2.30 petang ini. -MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Lakibini jer menghadap YDPA? Spt masalah rumahtangga jer bukan hal negara ke? Mana MP2 DAP dgn PAN atau baru tersedar negara ini ada Agong? Dua susuk yg rakyat tidak mahu lagi pertama Najib kedua Anwar.. yg lain tu ialah PANDAP tu jer

Comments are closed.