Sebahagian penyokong PKR kelihatan hadir di kediaman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi sokongan di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba ke kediamannya di Bukit Segambut Dalam di sini pukul 7.48 malam tadi selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR petang tadi.

Beliau menaiki kenderaan Lexus hitam KCS 727 diringi dua kenderaan pengawal.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tiba di kediamannya Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2020.

Terdahulu beliau bersama isterinya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pukul 2.40 petang tadi.

Kepulangan Anwar ‘disambut’ sekumpulan kecil penyokong tegarnya yang sudah berada di pekarangan kediamannya.

Selain para penyokongnya, para wakil media juga ‘berkampung’ di perkarangan kediaman Anwar sejak pagi tadi bagi melaporkan perkembangan terkini mengenai Presiden PKR berkenaan.

Bagaimanapun wakil media juga belum mendapat sebarang perkembangan mengenai program selanjutnya melibatkan Anwar di kediaman atau bersama penyokongnya malam ini.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.