Penolong Setiausaha Publisti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin hadir pada Mesyuarat Jawatankausa Kerja Pusat (CEC) DAP di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Ibu pejabat DAP di Pudu hari ini menjadi tumpuan para penyokong parti itu dan wakil media ekoran pimpinan parti berkenaan mengadakan mesyuarat tergempar tengahari ini.

Bermula sejak pukul 11 pagi tadi, pimpinan tertinggi parti itu tidak henti-henti tiba di ibu pejabat berkenaan namun tidak seorang pun menyatakan kepada media berhubung agenda mesyuarat yang diadakan.

Meskipun diasak dengan soalan wartawan yang ingin mengetahui tujuan mesyuarat tergempar itu dibuat tetapi kesemua mereka hanya melemparkan senyuman dan menggelengkan kepala.

Suasana di perkarangan pejabat DAP pada Mesyuarat Jawatankausa Kerja Pusat (CEC) DAP di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 FEBRUARI 2020.

Antara pimpinan tertinggi DAP yang telah berada di bangunan berkenaan untuk mengikuti mesyuarat ialah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Penolong Setiausaha Publisti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Bagaimanapun, kelibat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih belum lagi kelihatan.

Difahamkan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah tiba awal di ibu pejabat parti berkenaan.

DAP mengadakan mesyuarat tergempar susulan spekulasi ia mungkin ‘disingkirkan’ daripada Pakatan Harapan (PH) jika penyusunan baharu politik berlaku.

Pemimpin DAP, termasuk mereka yang memegang jawatan kanan kabinet mengunci mulut ketika spekulasi hangat mengatakan pembabitannya dalam kerajaan persekutuan mungkin berakhir.

Semalam, negara dikejutkan dengan berita situasi politik negara apabila dikatakan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai satu langkah politik untuk menyingkirkan DAP daripada PH yang memperoleh kemenangan bersejarah pada pilihan raya umum Mei 2018 yang lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.