Adun Seremban Jaya, P. Gunasekaran telah dilepaskan daripada semua dakwaan berkaitan LTTE oleh Mahkamah TInggi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Hari ini mahkamah telah membebaskan seorang daripada 12 suspek dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ahli Dewan Undangan (ADUN), P. Gunasekaran telah dilepaskan daripada semua dakwaan berkaitan LTTE di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Proses yang sama mungkin akan berlaku kepada 11 lagi suspek kes LTTE di seluruh negara tidak lama lagi.

BACA:LTTE: Mahkamah Tinggi bebas ADUN Seremban Jaya

Malah ada antara mereka kesnya belum dibicarakan lagi di mahkamah dan mungkin digugurkan terus ekoran arahan Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas yang tidak membuat pendakwaan kepada mereka.

Berdasarkan kuasa, ia memang hak AG namun justifikasi budi bicaranya membuatkan timbul rasa kurang senang ramai pihak dan menimbulkan kontroversi.

Malah tindakan Tan Sri Tommy Thomas itu bukan sahaja dikritik oleh pembangkang malah pimpinan kerajaan sendiri.

Malah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menegaskan, AG tidak ada kuasa membuang status pengganas kepada LTTE kerana ia tugas pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

BACA: LTTE: Peguam Negara tiada kuasa – Muhyiddin

Bagi Muhyiddin, pihak berkuasa seperti polis mempunyai bukti melakukan sesuatu penilaian – lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan elemen pengganas.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mahu AG meletakkan jawatan kerana berbuat demikian.

BACA: AG mesti kembali patuhi dasar kerajaan atau letak jawatan – Maszlee

Bagi Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr Mizan Mohammad Aslam, keputusan AG terhadap tahanan LTTE akan dirujuk sebagai precedent atau kes duluan terhadap kumpulan militan ISIS, DAESH, sebagaimana teori domino, tahanan-tahanan akan menuntut saman ke atas kerajaan.

“Kesan seterusnya, jika AG enggan memberi keadilan kepada 380 tahanan SOSMA ini, rakyat akan mempertikaikan adakah kerana mereka Melayu beragama Islam seperti arwah Adib, Aishah dan lain-lain tidak wajar diberi hak yang sama seperti bukan beragama Islam?

“Malah rakyat turut mengaitkan adakah tindakan ini pendakwaan terpilih kerana antara tahanan LTTE adalah pemimpin DAP dan ini mengesahkan hipotesis sebelum ini bahawa tindakan Peguam Negara berasaskan kepentingan politik semata-mata bukan kepentingan rakyat atau keselamatan negara,” katanya.

BACA: Keputusan LTTE buka ‘floodgate’ pengganas – pakar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mahu pihak AG turut melihat semula dakwaan suspek pengganas Islam ditahan sebelum ini yang kadangkala kesnya juga dilihat tidak kuat tetapi telah ditahan pihak berkuasa.

BACA: Pertimbang semula hukuman pesalah IS sama seperti LTTE – Anwar

Malah satu kumpulan yang mewakili individu yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) mendesak AG juga menarik balik kes mereka.

Pemimpin Desak Sampai Mansuh (DSM) Mahathir Rahman dilaporkan berkata, individu terbabit dituduh melakukan kesalahan yang serupa atau lebih ringan berbanding 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Beliau yang mewakili 86 tahanan di penjara Tapah berkata, individu terbabit telah ditahan lebih empat tahun.

Katanya, mereka ditahan kerana menyimpan gambar di Syria, menunjukkan simpati kepada IS dan menyimpan bendera dan logo ‘kalimah Lailahaillah’ yang dikaitkan dengan IS.

Hanya sebilangan mereka (tahanan berkait IS) memilih untuk mencabar penahanan mereka dan individu itu dikenakan hukuman berat, katanya.

Keputusan AG itu menyebabkan ada pihak mempertikaikan semula tindakan yang dikenakan kepada pihak yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas sebelum ini.

Ia akan dijadikan kes rujukan di negara ini.

BACA: Mempunyai gambar idola di telefon bimbit tidak menukar seseorang menjadi pengganas – AG

Selain itu, ia sedikit sebanyak telah mencalarkan imej pihak berkuasa terutama polis.

Ramai beranggapan arahan itu juga ada kaitan dengan tekanan politik daripada sesetengah pihak dan imej sedemikian dilihat tidak murni dalam pentadbiran negara.

Lebih-lebih lagi dalam kes LTTE, ia melibatkan pemimpin dari parti tertentu.

Lebih dibimbangi, apa yang berlaku akan menyebabkan krisis perkauman apabila ada yang mengaitkan dengan pendakwaan terpilih.

Sesuatu perlu dibuat oleh kerajaan bagi meredakan kemarahan yang terpercik akibat perkara yang sama.

Dalam bab itu walaupun undang-undang mengasingkan antara perundangan dan kuasa politik namun demi mengelak sesuatu krisis lebih besar kita memerlukan kuasa pentadbiran tertinggi menanganinya.

Jangan ada krisis lebih teruk pada masa depan di negara yang kita cintai ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Peguam Negara tamatkan prosiding jenayah terhadap 12 individu sokong LTTE