KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) yang mengecam sekeras-kerasnya keputusan Peguam Negara, memberhentikan prosiding terhadap 12 individu tertuduh yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mahu beliau dipecat.
Keputusan itu, kata Ketua Dewan Ulamak Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyaksikan Peguam Negara secara langsung mencampuri urusan Kementerian Dalam Negeri dan mencabar kewibawaan pihak polis serta agensi keselamatan berkaitan kerana tangkapan 12 tertuduh yang ditahan di bawah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berdasarkan pertuduhan mereka dalam memberikan sokongan kepada LTTE.
Menurutnya, amat mengejutkan apabila pertuduhan yang jelas dan sarat dengan bukti hubungkait 12 tertuduh dengan kumpulan militan LTTE dibebaskan begitu sahaja tanpa diheret ke perbicaraan mahkamah.
“Adakah Peguam Negara memilih kes-kes tertentu yang melibatkan kepentingan politik? Jika benar, maka Peguam Negara telah merosakkan imej institusi kehakiman serta mendedahkan negara Malaysia kepada bahaya dan ancaman keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, implikasi dari keputusan Peguam Negara bakal menjadikan Malaysia sebagai ‘sarang’ merekrut pengganas yang membawa ideologi yang diimport dari Sri Lanka dan perkara ini sangat serius dan tidak boleh dipandang enteng.
DUPP selama-lamanya sangat bertegas dalam mementingkan isu keamanan dan keselamatan negara terasa sesuatu yang tidak kena dalam isu ini dan melihat wujudnya campur tangan politik yang tidak bertanggungjawab dengan membebaskan 12 tertuduh yang mempunyai kaitan bersama LTTE tersebut.
Sehubungan itu, DUPP mendesak agar Peguam Negara dipecat demi keselamatan negara serta Malaysia tidak dijadikan sasaran bagi sarang merekrut pengganas.
“Kesalahan yang dilakukan oleh Peguam Negara sangat besar implikasinya ditambah lagi kewibawaannya sepanjang perjawatan selaku Peguam Negara sangat mendukacitakan termasuklah dalam isu inkues Allahyarham Mohamad Adib, anggota bomba dan penyelamat yang terbunuh dalam rusuhan kuil yang sehingga kini masih belum mendapat pembelaan sewajarnya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
Tomato ni gali lubang , dan sekarang dia terjun dalam lubang itu berserta ego politik nya .