Amirudin Shari

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dijangka mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini, kata setiausaha politiknya Borhan Aman Shah.

Bagaimanapun Borhan enggan mengulas lanjut sama ada pertemuan berkenaan diadakan bagi membincangkan mengenai perkembangan politik tanah air atau sekadar pertemuan biasa berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.

“Menteri besar (Amirudin) akan mengadap Tuanku Sultan hari ini,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, sumber Istana Selangor ketika dihubungi pula memberitahu pertemuan berkenaan tiada dalam jadual Sultan Sharafuddin hari ini.

Pada masa sama, ditanya mengenai kedudukan kerajaan Selangor berikutan perkembangan politik itu, Borhan berkata, pentadbiran negeri ini masih berada di bawah naungan Pakatan Harapan (PH) walaupun desas-desus mengatakan bakal berlaku penjajaran semula kerajaan di peringkat persekutuan.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu pertemuan antara Amirudin selaku pengerusi PKR Selangor bersama pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim diadakan pagi tadi, namun tidak memberitahu lokasi dan masa ia diadakan.

“…dan semuanya (PKR, DAP dan Amanah Selangor) bersetuju untuk terus kekal dalam gabungan PH.

“Malah, pengerusi PPBM Abdul Rashid Ansari juga menyatakan parti itu tidak mempunyai masalah untuk terus kekal bersama dalam kerajaan negeri,” katanya.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada ketika ini, komposisinya adalah 21 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Amanah (8), PPBM (5), Barisan Nasional (5) dan PAS (1).-BERNAMA