Ewon Ebin

KOTA KINABALU – Bekas ahli Parlimen Ranau Datuk Ewon Ebin mengumumkan keluar dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini.

Menerusi satu kenyataan, Ewon yang juga Ketua Bahagian UPKO Ranau dan bekas Naib Presiden UPKO berkata keputusan itu turut disertai oleh beberapa ahli jawatankuasa bahagian, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Komulakan di pelbagai peringkat di bahagian itu.

Menurut beliau keputusan untuk keluar UPKO adalah didorong oleh beberapa faktor, antaranya disebabkan arah dan asas perjuangan UPKO pada hari ini telah jauh tersasar daripada perjuangan asal UPKO ditubuhkan.

Perjuangan itu ialah menjaga dan mempertahankan kepentingan, kebajikan serta melindungi hak-hak ahlinya, Anak Negeri Sabah dan rakyat Malaysia asal negeri Sabah, katanya.

Beliau antara individu yang menubuhkan UPKO pada Mac 1994 dan menjadi ahli Parlimen Ranau satu penggal selepas menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada 2013.

Pada PRU Ke-14 pada 2018, Ewon yang pernah menjadi Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi di Persekutuan kalah kepada calon PKR, Jonathan Yassin.- BERNAMA