Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kumpulan 11 yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk penggal Parlimen Ke-14.

“Ini telah kami tegaskan dalam mesyuarat tertutup parti dan secara terbuka.

“Tindakan yang kami ambil adalah berpaksikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, perpaduan yang kukuh dan penumpuan kepada usaha untuk memulihkan serta menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata Mohamed Azmin dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keyakinan yang diberi kerana merupakan mandat sebenar yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kumpulan kami adalah terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan wilayah yang mengutamakan persefahaman antara kaum, agama dan kebudayaan,” ujarnya yang sudah selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk ditemubual.

Selain Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, 10 lagi gengnya adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.- MalaysiaGazette