Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang masuk hari ke-82 terpaksa ditangguhkan pada hari ini kerana beberapa sebab.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon kebenaran pengangguhan kerana tertuduh, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menghadiri ’mesyuarat’ penting di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar lagi.

Selain itu, selepas mesyuarat penting itu yang dipercayai akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi komponen Barisan Nasional dan Pas itu, ada kemungkinan mereka akan ke Istana Negara.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan juga dikatakan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana hari ini.

Selain daripada itu, perbicaraan hari ini juga tidak dapat diteruskan kerana saksi pembelaan, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosman Abdullah tidak dapat hadir memberikan keterangan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menangguhkan perbicaraan dan akan bersambung pagi esok.

Semalam dalam posting laman sosial Facebook Najib, beliau juga telah memberi bayangan bahawa ‘krisis’ yang sedang melanda negara mungkin akan panjang lagi ceritanya seperti di Netflix. -MalaysiaGazette