Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR- Masa depan negara dan kestabilan politik mesti ditentukan oleh rakyat dan bukannya elit politik.

Disebabkan itu menurut Timbalan Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, Barisan Nasional dan Pas menyarankan supaya Parlimen dibubarkan.

Ini bagi membolehkan sebuah pilihan raya umum untuk memilih kerajaan baharu diadakan.

“Cadangan ini amatlah munasabah, wajar dan sangat sesuai untuk menyelesaikan kemelut politik pasca kejatuhan Pakatan Harapan.

“Masa depan negara dan kestabilan politiknya mesti ditentukan oleh rakyat dan bukan elit politik.

“Kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat adalah jalan terbaik untuk demokrasi Malaysia berfungsi sebaiknya.

“Semoga dilimpahkan rahmat taufik dan hidayah daripada Allah swt buat semua demi mendapatkan keputusan terbaik buat sekalian rakyat Malaysia. InsyaAllah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO dan Pas mengadakan sidang media bersama mengumumkan persetujuan sebulat suara ahli-ahli parti berkenaan supaya Parlimen dibubarkan dan dalam masa yang sama menarik semula sokongan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diberikan sebelum ini.

Ini kerana menurut Setiausaha Bersama Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa ada syarat-syarat yang telah ditetapkan gabungan parti tersebut yang tidak dipersetujui Perdana Menteri interim, antaranya enggan bekerjasama dengan DAP.

Sokongan tersebut turut dipersetujui oleh parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang beralasan tidak mahu kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Dr. Mahathir itu menjadi sebuah kerajaan yang mempunyai kuasa penuh tanpa pembangkang.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Very true. I totally agree with him. Leaders can come and go, but the people are here to stay. Not forget, leaders are elected by the people. Without the people’s support, leaders are nobody. So, give the power back to the people. At the moment, we should concentrate on the poverty and the grievances of the people and not on the popularity of the leaders. A good leader is one who will put the people and nation first and not his family and cronies. People at all levels in the country are suffering and we need a good government that can fix the many pressing issues faced by the country. May God save Malaysia.

Comments are closed.