Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap kepada media selepas menyertai pertemuan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memberi bayangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan ke Istana Negara esok.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, jangkaan waktu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong mungkin pada sebelah pagi.

Namun beliau berharap semua pihak dapat menunggu apa jua keputusan rasmi sebelum itu.

“Lebih tunggu. Mungkin (ke Istana Negara) dan pagi.

“Saya sebenarnya tidak dibenarkan memberi kenyataan,” katanya yang cuba menepis asakan soalan daripada pihak media.

Beliau berkata demikian selepas beberapa Ahli Parlimen BN dan Pas mengadakan perjumpaan tertutup di Restoran Riverside di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.

Perjumpaan yang bermula pukul 9 malam itu menyaksikan kehadiran pemimpin seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut menyertai perjumpaan itu adalah Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduk Nik Abdul Aziz.

Ismail turut memberitahu apa jua keputusan ke Istana Negara bergantung kepada arahan Pengerusi BN.

Beliau juga memaklumkan Ahmad Zahid sudah beredar pulang lebih awal pukul 11 malam tadi.

Pihak media yang sebelum itu berada di dalam restoran bagaimanapun diminta keluar sebelum perjumpaan bermula.

Sejurus berada di luar, pintu restoran ditutup serta-merta dan setiap individu yang masuk akan disoal oleh Polis Bantuan. – MalaysiaGazette