Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd., Datuk Khairil Anuar Aziz.

KUALA LUMPUR – Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak tiga peratus kepada RM516.04 juta pada suku keempat 2019 berbanding RM530.85 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Kemerosotan tersebut didorong oleh kejatuhan berterusan harga jualan purata (ASP) serta jumlah eksport yang rendah sepanjang tahun.

MSM dalam satu kenyataan di sini hari ini mengumumkan kerugian selepas cukai sebanyak RM 299.77 juta berbanding RM 35.61 juta keuntungan selepas cukai (PAT) pada tahun lepas.

Penurunan itu hasil daripada beberapa faktor termasuk impak penstrukturan semula pinjaman sebanyak RM90 juta akibat daripada harga NY#11 dan premium pengangkutan yang tinggi.

Selain itu, kemerosotan nilai bagi aset-aset tertentu sebanyak RM 140.55 juta turut menjejaskan lagi prestasi kewangan kumpulan pada tahun 2019.

“Secara strategik, kemerosotan nilai yang tinggi tersebut adalah berkait rapat dengan penilaian yang telah kami lakukan, sebahagian daripada pelan sinergistik untuk memperkasakan keupayaan operasi.

“Selain itu, kontrak gula mentah sebelum ini yang tamat pada Disember 2019, akan memberikan kelebihan dari aspek perolehan gula mentah strategik yang berpotensi mengurangkan aliran keluar tunai syarikat, di samping memastikan kemampanan bekalan gula mentah yang berkualiti tinggi untuk kilang-kilang penapisan MSM,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz.

Tambahnya, kemerosotan prestasi syarikat juga berpunca daripada beberapa faktor di luar kawalan seperti kelemahan nilai ringgit dan persaingan agresif dalam pasaran tempatan dan eksport.- MalaysiaGazette