Pangkalan tentera udara Ain al-Asad yang rosak akibat dibedil peluru berpandu Iran pada 8 Januari lalu. foto Agensi

TEHRAN – Ali Shamkhani, Setiausaha Badan Keselamatan Iran mendakwa White House telah menyekat maklumat tentang serangan peluru berpandu Iran di pangkalan Amerika Syarikat di Iraq.

Shamkhani berkata demikian selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo mendakwa Iran tidak memberi maklumat sebenar tentang penularan koronavirus di negara ini.

“Pompeo melahirkan rasa bimbang Iran menutup maklumat tentang koronavirus tetapi tiada berita benar mengenai Ain al-Asad diterbitkan oleh White House,” kata Shamkhani.

Iran melepaskan peluru berpandu di pangkalan udara Ain al-Asad di Iraq pada awal Januari, beberapa hari selepas komander tentera Iran, Qassem Soleimani dibunuh dalam serangan drone Amerika Syarikat di Iraq.

Tentera Amerika Syarikat mendakwa lebih 100 anggota tenteranya didiagnos mengalami kecederaan otak selepas serangan di pangkalan tentera itu.

Tetapi tentera Iran mendakwa serangan itu membunuh beberapa askar Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette