Hakim Mahkamah Sesyen, Norsalha Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh S. Vasadha Kumar, 36, selepas dia mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil.

GEORGE TOWN – Seorang bapa hari ini terpaksa meringkuk dalam penjara selama tiga tahun dan dikenakan denda RM10,000 kerana bertindak menganiaya dan mencederakan anak perempuan tirinya menggunakan sebilah pisau yang dipanaskan, awal bulan ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norsalha Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh S. Vasadha Kumar, 36, selepas dia mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil.

Jika gagal membayar denda, tertuduh dikenakan hukuman penjara selama setahun.

Mengikut pertuduhan, Vasadha didakwa telah menganiaya dengan cara mencederakan kanak-kanak perempuan itu yang berusia 10 tahun  dengan menggunakan sebilah pisau yang dipanaskan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Lelaki itu yang bekerja sebagai pemotong rumput didakwa melakukan perbuatan itu di Pangsapuri Sri Saujana, Gat Lebuh Maccalum, di sini pada jam 12.30 tengah malam, 1 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Vasadha, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan dia hanya bekerja sebagai pemotong rumput dan isterinya sedang mengandung.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fatin Hussin kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat atas alasan perbuatan tertuduh itu tidak berperikemanusiaan.

— BERNAMA