Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Perdana Menteri interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan impak negatif akibat penularan wabak Covid-19 tidak lama lagi.

Menerusi Twitter, Mahathir memaklumkan beliau baru sahaja selesai bermesyuarat bersama pegawai atasan Kemeterian Kewangan untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Inisiatif ini akan diumumkan tidak lama lagi,” demikian ciapan di Twitternya.

Terdahulu, bekas menteri kewangan dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Mahathir akan menentukan tarikh pengumuman pakej itu.

Guan Eng berkata, beliau sudah menyerahkan butiran muktamad pakej itu kepada perdana menteri pada 23 Februari lalu, sehari sebelum Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri.

Mahathir pada mulanya dijadual mengumumkan pakej rangsangan ekonomi itu pada 27 Februari ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pakej rangsangan ekonomi tetap diteruskan