KUALA LUMPUR – Apa sahaja formula dan keputusan yang dibuat, tidak akan ada mana-mana pihak akan berpuas hati kerana tidak ada calon mutlak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Justeru, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali konsisten bahawa dengan membubarkan Parlimen sahaja sebagai jalan terbaik untuk negara kembali tenang.
Jelas beliau, pendirian Putra daripada awal lagi menggesa Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya telah memberikan sebab dari awal kemelut politik lagi iaitu asasnya kembalikan semula hak rakyat untuk menentukan masa depan kepimpinan negara.
“Dalam keadaan sekarang, sesiapa sahaja dilantik termasuk Perdana Menteri interim, tidak akan menjamin kestabilan politik negara dan kecoh politik akan berterusan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Ibrahim, pada 25 Februari lalu, beliau telah mengeluarkan kenyataan media mengenai kemelut itu susulan perjumpaan parti politik tertentu di sebuah hotel di Petaling Jaya yang mencetuskan gelora politik negara,
Kata beliau, tawar menawar yang berlaku adalah kerana kepentingan diri dan parti masing-masing, bukan disebabkan hendak menjaga kebajikan rakyat serta negara.
Ekonomi negara pula, jelas beliau, semakin terkesan dan kritikal sehingga dilihat tidak akan ada kesudahannya.
“Putra merayu Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong yang akan bersidang esok agar memberi ampun perkenan ke arah membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU ke-15.
“Biar rakyat memilih kerajaan baharu dan inilah proses demokrasi berparlimen.
“Malah tidak keterlaluan kalau Yang di-Pertuan Agong melalui restu ampun perkenan Majlis Raja-Raja Melayu menggantung Parlimen, maknanya seperti darurat untuk seketika bagi membolehkan semua pihak memainkan peranan kembali ke ‘papan hitam’ atau go back to drawing board,” katanya.
Ini katanya, seperti selepas peristiwa 13 Mei 1969 bagi menyusun dan membetulkan semula keadaan yang bertambah haru biru dan negara dalam kerosakan, terutama perkara asas mengenai perpaduan kaum.
Dr. Ibrahim berkata, ada pihak mendesak untuk memansuhkan beberapa akta dan undang-undang atas nama reformasi serta sebagainya yang dilihat dari sudut kepentingan politik dan demokrasi semata-mata.
Beliau menjelaskan, Malaysia adalah negara berbilang kaum di mana pribumi mewakili 67 peratus, namun terkini ibarat kata, negara seperti telur di hujung tanduk.
“Amat wajar negara diletakkan di bawah ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) setahun dua bagi membolehkan merangka kerangka baharu untuk negara sebelum nasi menjadi bubur.
“Maka bagi Putra, kesimpulan kepada jalan terbaik adalah bubar Parlimen untuk PRU15 atau gantung Parlimen dengan mewujudkan Mageran. – MalaysiaGazette
Bubar is the best option left for the rakyat and nation.
Benar