KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mendedahkan tidak ada sesiapa pun dalam kalangan pimpinan politik menolak kerajaan ‘perpaduan’ sebaliknya masih berharap supaya Pakatan Harapan menjadi asasnya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri berkata, cara terbaik untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan adalah menjadikan PH sebagai tunjang dan parti politik lain boleh bekerjasama bagi membina Malaysia Baharu.
Bagaimanapun, katanya, idea ini ditolak segelintir kerana penubuhan kerajaan perpaduan ketika ini dilihat seolah-olah berasaskan pengkhianatan, penipuan, rasuah, pengabaian mandate rakyat serta perpecahan perpaduan negara.
“Walaupun idea kerajaan perpaduan ini menarik dan layak dipertimbangkan tetapi PH perlu menjadi asasnya. Sebarang percubaan untuk tubuhkan kerajaan dengan memusnahkan PH adalah tindakan tidak bijak dan langsung tidak berpandangan jauh.
“Sepatutnya kerajaan perpaduan ini berteraskan mandat PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) bagi tujuan Malaysia Baharu,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Tambah Kit Siang, seperti yang telah dinyatakan oleh Pengerusi PH dalam Buku Harapan pada Mac 2018, dasar dan tindakan-tindakan akan dilaksanakan untuk memulihkan dan membina negara serta memenuhi harapan rakyat.
“Dua hari lepas, saya sudah persoal yang jawapannya belum saya dapat sehingga kini.
“Siapakah yang akan percaya 42 Ahli Parlimen Barisan Nasional dan 18 wakil Pas menyokong manifesto PRU-14 PH?
“Juga penangkapan Najib serta pimpinan BN, jika benar adakah mereka akan umumkan perkara ini? Tiada jawapan lagi dan nampaknya jawapan ini tampak jelas kini.
“Tiada siapa tolak cadangan kerajaan perpaduan Cuma tugas paling utama ialah kembalikan kerajaan PH terlebih dahulu. Itulah yang menjadi cabaran ketika ini,” ujarnya. –MalaysiaGazette