Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan segera kerja-kerja penyelenggara dan pembaikan infrastruktur kecil seluruh negara, terutamanya di luar bandar.

Bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat ke peringkat akar umbi, peruntukan akan disalurkan melalui usahasama dengan Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, projek-projek yang terbabit perlu dilaksanakan dengan segera agar dapat memberi impak yang positif untuk merangsangkan ekonomi.

Bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan semua projek, Kementerian Kewangan akan memudahkan tatacara kewangan khas untuk tahun 2020 seperti berikut:

  1. Meningkatan nilai untuk perolehan melalui kaedah cabut undi dari RM50,000 kepada RM100,000 dan kaedah sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000;
  2. Memastikan kementerian menyalurkan peruntukan yang secukupnya kepada agensi pelaksana masing-masing menjelang suku pertama tahun 2020.

Tambahnya, Kementerian Kewangan akan memantau pematuhan kepada jadual perolehan agar aktiviti dilaksanakan mengikut jadual. – MalaysiaGazette