.Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh

KUALA LUMPUR – Kerajaan Melaka pimpinan Pakatan Harapan (PH) diminta segera membuktikan bahawa mereka memiliki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencukupi untuk kekal mentadbir negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, jentera pentadbiran kerajaan negeri akan tergantung ketika ini.

Jelas beliau, pada masa sama, Barisan Nasional (BN) kini sedang bersedia untuk membentuk kerajaan Melaka sekiranya memiliki bukti majoriti kerusi DUN.

“Kami akan mengemukakan bukti kepada Yang di-Pertua (TYT) Negeri Melaka jika memiliki majoriti kerusi dalam masa terdekat.

“Jadi kami menyangkal dakwaan Kerajaan Melaka hari ini berfungsi seperti biasa sebaliknya mereka perlu menunjukkan kekuatan jumlah majoriti kerusi yang diperlukan untuk mentadbir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sebelum Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian UMNO di lobi Menara Dato’ di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Amanah Negara (Amanah) Melaka yang berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpihak kepada kerajaan negeri itu masih bersama PH.

Ini termasuk dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain ADUN PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Datuk Ginie Lim Swee Lin (Machap Jaya).

Semua ADUN berkenaan adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Dakwaan itu dibuat oleh Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Mohd Sofi Wahab yang berkata, keadaan politik negeri sekarang masih kekal stabil berikutan tiada wakil rakyat dari PH yang ‘melompat’ atau tidak menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Sementara itu, Abdul Rauf menambah, pihaknya kini sedang mengumpul Akaun Bersumpah (SD) dalam kalangan ADUN yang menyokong Barisan Nasional.

Sekiranya mencukupi, kata beliau, SD itu diserahkan kepada Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

“Ketika ini BN memiliki 13 kerusi DUN dan menunggu dua lagi wakil rakyat untuk menubuhkan kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette