TAIPEI – Taiwan meletakkan respon wabak Covid-19 ke paras tertinggi selepas ia menyediakan pakej bernilai AS$2 bilion untuk mengurangi impak koronavirus kepada ekonomi negara tersebut yang bergantung kepada eksport.

Langkah tersebut membolehkan kerajaan mengekang penularan virus tersebut dengan lebih cepat kerana lebih banyak sumber boleh disalurkan kepada pelbagai kementerian, kata agensi berita rasmi Central News Agency.

Perdana Menterinya, Su Tseng-chang mengumumkan keputusan Kabinet tersebut selepas satu mesyuarat hari ini dan menyebut kes-kes penularan virus menerusi pemindahan dalam masyarakat yang kini telah mencatatkan 32 kes dan satu kematian.

Peningkatan respon tersebut diumumkan selepas Parlimen meluluskan pakej AS$2 bilion untuk mengurangkan impak virus tersebut kepada ekonomi yang mana ia merangkumi pinjaman kepada perniagaan kecil, subsidi kepada agensi-agensi pelancongan dan baucer untuk membeli makanan di pasar-pasar malam yang terkenal di Taiwan.

“Sejajar dengan penularan wabak ini di peringkat antarabangsa, Taiwan perlu meningkatkan pertahanan kami terhadap virus tersebut.

“Kami akan mengintegrasi kesemua sumber kerajaan bagi menentang ancaman koronavirus,” kata Presiden Taiwan Tsai Ing-Wen ketika memantau pasukan yang ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja menyah-kuman.

Terdahulu Taiwan turut meluluskan undang-undang untuk menghukum sesiapa yang melanggar arahan kerajaan untuk dikuarantinkan.

Pesalah boleh dihukum penjara atau denda T$2 juta.- Agensi