Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto IQBAL BASRI, 18 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di bangunan Yayasan Al-Bukhary pada jam 9.10 pagi tadi.

Beliau dipercayai akan bertemu semua Ahli Parlimen Bersatu bagi membincangkan situasi terkini politik negara.

Ia termasuk membincangkan hasrat parti itu bagi meletakkan Presidennya,Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau yang menaiki kereta jenis Mercedes dengan nombor pendaftaran Rimau 1925 mula memasuki perkarangan yayasan itu disusuli beberapa buah kenderaan lain termasuk kereta peronda.

Hadir di yayasan adalah Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abd Rahman; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee.

Muhyiddin sampai di Yayasan itu pada jam 9.58 pagi diikuti bekas Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik pada jam 10.00 pagi dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dua minit kemudian.

Turut kelihatan bekas Ahli Parlimen PKR, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Dipercayai kesemua Ahli PKR yang keluar parti dan menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan hadir dalam pertemuan ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast