Setiausaha Politik Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berjalan keluar dari kediaman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Meskipun menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Pakatan Harapan menegaskan bahawa parti itu mempunyai sokongan majoriti, kata Setiausaha Politik Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Tambah beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dalam mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini.

Perkara itu juga, ujar beliau, akan diperincikan semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR yang akan diadakan pada esok.

“Kita hormati keputusan YDPA tapi kami tahu kami dapat jumlah sokongan. Akan ada perbincangan malam ini di antara Majlis Presiden.

“Esok kami di PKR ada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat,” katanya  kepada wartawan sebelum meninggalkan kediaman Anwar di Segambut.

PH hari ini membuat keputusan mengejutkan apabila menyatakan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya, gabungan parti itu memaklumkan, ia berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuangkan Pakatan Harapan dalam kerajaan.

Ditanya tentang reaksi Anwar selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan, Farhash berkata, Presiden PKR itu sentiasa tenang.

“Reaksi Datuk Seri okay, tenang, beliau sentiasa tenang,” katanya. – MalaysiaGazette