Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO yakin titah Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan dibuat berpaksikan kepada kepentingan dan kelangsungan sebuah negara dan rakyatnya.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pelantikan ini menamatkan suatu kemelut politik yang mendebarkan dan belum pernah berlaku dalam sejarah moden politik Malaysia.

Kemelut yang berpunca dari kerakusan dan perebutan kuasa antara dua pihak yang akhirnya meleburkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahkan meruntuhkan kerajaan itu dek kerana ‘tangan-tangan’ mereka sendiri.

Asyraf juga mengucapkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana mengambil sikap matang, rasional dan bertenang sepanjang tempoh krisis politik ini berlaku.

“Kepada seluruh jentera dan warga perkhidmatan awam, sekalung penghargaan tidak terhingga kerana mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong selaku Ketua Negara dan dalam meneruskan kesinambungan perjalanan pentadbiran sektor awam dengan lancar kepada rakyat dan negara seluruhnya,” katanya.- MalaysiaGazette