Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang media amanat Presiden PAS di Ibu Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 01 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Keputusan Yang diPertuan Agong (YDPA) melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan sudah cukup untuk menamatkan keraguan tentang pencalonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian apabila ditanya adakah Sidang Khas Dewan Rakyat jalan terbaik menamatkan keraguan terhadap kelayakan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Beliau menyifatkan Agong adalah pandangan yang terbaik bukan sahaja untuk negara malahan juga demi rakyat.

“Keputusan Agong untuk pecah keraguan itu, setelah dapat pandangan ahli parlimen wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, ambil kira jumlah parti politik yang mendukung sudah cukup hilangkan keraguan.

“Cukup dengan kenyataan YDPA dengan kuasanya mengikut perlembagaan mengikuti demokrasi. Biasalah ada yang tidak puas hati yang penting pandangan baginda merupakan pndangan terbaik untuk negara dan rakyat,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau juga enggan menjawab soalan berkaitan pendirian parti itu sekiranya undi tidak percaya dibuat di Dewan Rakyat oleh Pakatan Harapan.

Bagi Hadi, beliau tidak boleh mengulas  perkara yang belum berlaku.

“Itu satu andaian. Kita tidak terima andaian. Kita pegang pada prinsip yang hari ini kita beri kepercayaan. Tidak ada akan. Ini satu andaian saya tidak tahu saya mati bila atau hidup (sampai) bila,” katanya lagi.

Hari ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, PH sepakat untuk membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan hari ini.

Keputusan itu ujar Anwar telah disepakati dan akan dilakukan segera.

Untuk rekod PH mendakwa memiliki jumlah sokongan lebih daripada Muhyiddin bagi membolehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.