Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Rombongan lebih 20 kenderaan yang membawa ahli-ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muafakat Nasional tiba di Istana Negara kira-kira jam 9.50 pagi tadi.

Kehadiran 114 ahli Parlimen itu bagi menghadiri Istiadat Mengangkat Sumpah Perdana Menteri Kelapan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara pemimpin parti politik yang kelihatan memasuki Pintu 2, Istana Negara ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kedua-dua pemimpin UMNO ini sahaja yang membuka tingkat kereta masing-masing bagi memberi peluang kepada petugas media untuk merakam gambar dan visual.

Muhyiddin akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kira-kira jam 10.30 pagi ini.

Semalam, Istana Negara menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Ia proses lanjutan titah YDPA di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Istana Negara kemudiannya menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri sekaligus melenyapkan kemelut politik yang berlaku sejak minggu lepas. – MalaysiaGazette