Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan 'clock-in' di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Isnin.

KUALA LUMPUR – Tiada cuti umum diberikan esok.

Itu penegasan Jabatan Perdana Menteri yang memaklumkan tiada arahan cuti umum dikeluarkan sempena pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Malah menurut kenyataan ringkas jabatan berkenaan, berita yang ditularkan berhubung perkara itu adalah palsu dan semua pihak diminta berhenti daripada menyebarkannya.

Hari ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh disahkan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan dan telah mengangkat sumpah jawatan berkenaan dihadapan Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi tadi.

Pelantikan Muhyiddin, 72, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin lalu sehingga mencetuskan krisis politik tanah air dan menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa dan berlaku perubahan gabungan dalam parti-parti politik. – MalaysiaGazette