PETALING JAYA – Ibu pejabat PKR di Tropicana kecoh apabila ratusan penyokong parti itu ‘mengamuk’ sambil melaungkan kata-kata kesat.

Mereka yang kelihatan marah dan tidak sabar menjerit-menjerit “pengkhianat”, “anjing” dan “pecat” kepada beberapa pemimpin PKR yang dikatakan telah menikam parti itu dari belakang.

Antara yang teruk “dibelasah” oleh penyokong PKR ialah Naib Presiden, Tian Chua dan bekas Timbalan Ketua AMK, Dr. Afif Bahardin,

Ratusan penyokong PKR itu hadir ke ibu pejabat parti dipercayai untuk berjumpa dan berbincang dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media juga dimaklumkan bahawa Anwar akan berada di ibu pejabat untuk bermesyuarat.

Dr. Afif yang keluar dari pejabat kelihatan pucat setelah diserbu ratusan penyokong PKR yang menjerit perkataan “pengkhianat”.

Beliau kemudian diiring oleh beberapa lelaki yang membawanya ke kereta, tetapi penyokong PKR cuba mengepungnya.

Keadaan tidak terkawal apabila ada dalam kalangan penyokong PKR mahu memukulnya, namun cuba ditenangkan oleh rakan mereka sendiri.

Kira-kira setengah jam kemudian, keadaan kembali tegang dan panas apabila penyokong melihat Tian Chua keluar dari pejabat.

Jeritan dan laungan “pengkhianat” dihamburkan kepada Tian Chua sehingga ada yang membaling botol air ke arahnya.

Kereta yang dinaiki beliau juga cuba dirosakkan oleh penyokong dengan menendang dan memukulnya dengan botol air.

Keadaan kembali tenang sebaik Anwar keluar dan cuba menenangkan keadaan, sebelum bercakap kepada wartawan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.