Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – UMNO mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad hendak membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada sidang Dewan Rakyat minggu depan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, Tun Dr. Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri dua kali dan Pakatan Harapan (PH) juga pernah menjadi kerajaan selama 22 bulan mesti menghormati undang-undang.

“Kita harap mereka tidak menghasut rakyat supaya turun ke jalanan, buat demonstrasi, mendesak tanpa mengikut undang-undang dan peraturan.

“Kalau beliau nak bawa usul undi tidak percaya ke Parlimen, itu betul.. (tapi) kena ikut salurannya, jangan melibatkan rakyat. Sebab sekarang ini yang menentukan Perdana Menteri adalah 222 Ahli Parlimen yang diberi mandat oleh rakyat.

“Jadi, jangan membabitkan rakyat di jalanan, jangan (buat) reformasi, jangan ada slogan yang boleh memprovokasi, jangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noh merayu rakyat jangan sekali-kali terlibat dengan perkara yang boleh mencetuskan huru hara, sebaliknya menyerahkan kepada semua 222 Ahli Parlimen mereka untuk menangani keadaan yang berlaku ini.

“Rakyat sudah beri mandat kepada 222 Ahli Parlimen dan yang akan menentukan siapa Perdana Menteri ialah 222 Ahli Parlimen ini. Apa juga yang perubahan berlaku dan kalau ada yang tidak puas hati, biarlah kami yang selesaikan di Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette