KUALA LUMPUR – Cadangan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) telah ditolak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Hasim Hasan dalam satu kenyataan berkata, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob hari ini telah mendapat representasi bahawa  Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN.

Katanya, atas budi bicaranya, Yang di-Pertua Negeri Melaka tidak bersetuju dengan permohonan supaya DUN dibubarkan yang dibawa oleh Adly.

“Oleh yang demikian berdasarkan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, berdasarkan Perkara 7 (2)(a) Perlembagaan Negeri Melaka, Mohd Khalil akan melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri yang baharu dalam masa terdekat yang pada pendapatnya mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka.  – MalaysiaGazette