Adly Zahari

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri itu dibubarkan  bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri diadakan.

Cadangan tersebut, katanya, telah dikemukakan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dalam pertemuan yang berlangsung petang tadi.

“Mengambil kira keadaan ketidaktentuan politik Negeri Melaka yang boleh menjejaskan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat serta bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat, saya dengan ini merujuk kepada peruntukan di bawah Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Peruntukan Perlembagaan itu menyebut: “Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Undangan Negeri, maka Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, melainkan jika atas permintaan Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri.”

Sehubungan dengan itu, Adly mencadangkan kepada Yang di-Pertua untuk membubarkan DUN Melaka bagi membolehkan PRN diadakan.

“Untuk itu saya mengharapkan semua rakyat kekal bertenang dan mematuhi peraturan bagi memastikan negeri ini terus dan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette