Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan yang beliau pernah “memberi amaran” kepada paderi Joshua Hilmy dan isteri dan meminta pasangan itu meninggalkan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khairy berkata, beliau tidak pernah mengenali Joshua atau isterinya, Ruth Hilmy mahukan saksi inkuiri, Selvakumar Peach John Harris secara peribadi.

“Saya juga menafikan pernah menghantar apa-apa emel seperti yang didakwa atau berhubung dengannya menerusi mana-mana medium komunikasi.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Selvakumar Peace John Harris adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Seorang saksi, Selvakumar Peace John Harris memberitahu inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Joshua dan isterinya bahawa bekas Menteri Belia dan Sukan itu pernah menghantar emel kepada paderi berkenaan.

Emel tersebut dipercayai berkaitan dengan pembaptisan satu pasangan Melayu oleh Joshua pada Januari 2005.

Selvakumar yang merupakan pemilik kediaman Joshua di Selangor berkata, beliau telah ditunjukkan satu salinan emel tersebut semasa paderi berkenaan melawatnya di Pulau Pinang pada Mei 2016.

“Beliau (Khairy) telah menghantar emel kepada Joshua dan menggesa pasangan tersebut meninggalkan negara.

“Joshua memberitahu saya menerusi satu panggilan telefon,” katanya seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal.

Beliau turut mendakwa Joshua dan Khairy pernah saling berbalas emel. – MalaysiaGazette