LONDON – Manchester City terus bernafsu menjulang trofi buat kali kelapan selepas menjuarai Piala Liga awal pagi tadi.

City mengesahkan kejuaraan ketiga berturut-turut Piala Liga dan kelima dalam tujuh musim selepas menewaskan Aston Villa 2-1 di Stadium Wembley.

City berada di hadapan menerusi Sergio Aguero dan Rodrigo Hernandez dalam tempoh 30 minit pertama manakala gol tunggal Villa hasil jaringan Mbwana Samatta pada minit ke-41.

Di bawah kendalian Peps Guardiola, City sukar ditewaskan pada aksi final selama ini dan mencatat rekod cemerlang dalam semua kejohanan domestik sepanjang tiga musim lalu.

Guardiola membimbing City memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris, tiga Piala Liga, satu Piala FA dan dua Perisai Komuniti.

Ketika ini, hanya di pentas Eropah City masih belum mampu meraih gelaran. – MalaysiaGazette