Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambai ke arah petugas media sebelum memasuki kenderaan rasmi untuk bergerak ke Pejabat Perdana Menteri di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memulakan perjalanan hari pertama tugasan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Ahli Parlimen Pagoh itu kelihatan ceria sebaik muncul di perkarangan kediamannya di Bukit Damansara, Damansara.

Berpakaian segak berkot hitam dan bertali leher kelabu, Muhyiddin sempat melambai ke arah wartawan dan jurukamera yang mula menunggu di luar kediamannya sejak pukul 7 pagi lagi.

Beliau kemudian meninggalkan kediamannya pukul 7.27 pagi diiringi kenderaan pengawal keselamatan dan kereta Polis SUV Volvo dan empat motosikal berkuasa tinggi menuju ke Perdana Putra di Putrajaya untuk memulakan tugas hari pertamanya.

Pagi ini beliau mengimbas kad perakam waktu di pejabat beliau dan akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Mohd Zuki Ali sekitar 9 pagi sebelum bertolak ke Muar Johor untuk menziarahi pusara ahli keluar beliau dan solat Zohor di Surau Haji Mohd Yassin.

Kemudian beliau dijangkakan kembali semula ke Putrajaya dan bertemu Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pukul 4.30 petang dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendy Buang sejam kemudian iaitu 5.30 petang.

Semalam Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-8 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Singgasana Kecil, Istana Negara.

Beliau diperkenan oleh baginda selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan selepas Tan Sri Muhyiddin berjaya meyakinkan baginda bahawa dirinya mempunyai sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai PM Ke-8.

Terdahulu Majlis Raja Raja telah bermesyuarat khas pada 10 pagi Jumaat lalu sebelum meminta Pemimpin-Pemimpin parti politik mencalonkan nama-nama calon PM yang mempunyai sokongan majoriti untuk diperkenan sebagai PM setelah temubual secara satu persatu kesemua 221 ahli Parlimen di Istana Negara gagal dalam menentukan ahli Dewan Rakyat yang mempunyai sokongan majoriti.

Ia sekaligus menamatkan segala kemelut politik pelantikan PM dan anggota Kabinet yang telah tergantung sejak 7 hari lalu selepas bekas PM Tun Dr. Mahathir Mohamad dari Pakatan Harapan secara mengejut berundur dari jawatan nombor satu kerajaan itu.–MalaysiaGazette