Parti Pribumi Bersatu Malaysia

ALOR SETAR – Perkembangan politik di Persekutuan turut memberi tempias kepada kerajaan negeri Kedah, terutamanya apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dikatakan pernah bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keadaan dalaman parti politik juga sudah seakan-akan sudah retak mahu pecah dengan kem pro-Mukhriz dan kem pro-Muhyiddin dalam Bersatu manakala kem-Anwar dan kem-Azmin dalam PKR.

Pada masa ini, kerajaan negeri PH-Bersatu mempunyai 19 kerusi berbanding pembangkang yang menguasai 17 kerusi.

Keadaan kelihatan tenang dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih berada di Kuala Lumpur, tetapi air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

“Mukhriz tidak akan berpeluk tubuh melihat Bersatu membelah bahagi kerajaan negeri bersama dengan Pas dan UMNO.

“Pertama sekali, Mukhriz akan memastikan enam ADUN dari parti yang sama memberi sokongan kukuh kepada dirinya,” kata sumber kepada China Press.

Sumber mendedahkan, terdapat seorang dua ADUN Bersatu sedang “meninjau” dan mungkin menjadi sasaran UMNO.

Selain itu, daripada tujuh ADUN PKR, tiga daripadanya adalah pro-Azmin, satu keadaan yang menguji kepimpinan Mukhriz untuk mengekalkan mereka.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, perkembangan politik telah memberi tempias kepada lantikan-lantikan politik oleh kerajaan PH dengan lebih 100 orang dianggarkan terjejas di Kuala Lumpur sahaja.

Dengan menteri baharu, tempoh perkhidmatan sesetengah lantikan politik mungkin ditamatkan lebih awal.

Akhbar itu melaporkan, kontrak Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur mungkin ditamatkan lebih awal.

Nor Hisham mula bertugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2018 dan beliau sepatutnya berkhidmat sehingga Oktober tahun ini. – MalaysiaGazette