Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan supaya jentera kerajaan mempercepatkan pelaksanaan inisiatif dalam Belanjawan 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

Serentak itu beliau turut mengarahkan Kementerian Kewangan memastikan pelaksanaan kesemua inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berjalan lancar serta memantau keseluruhan impak dan prestasinya.

“Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Pertemuan ini turut dihadiri oleh pegawai kanan daripada kementerian tersebut.

“Dalam sesi tersebut, Perdana Menteri telah diberi penerangan tentang situasi ekonomi semasa, kedudukan fiskal dan hutang negara serta langkah-langkah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang baru diumumkan,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, Muhyiddin turut menekankan pelaksanaan perbelanjaan secara lebih berhemah dan mengurangkan ketirisan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

Kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan juga diberi perhatian dan setiap projek yang akan dilaksanakan perlu diperhalusi agar tidak membebankan komitmen kewangan dan hutang Kerajaan, katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut berpandangan peruntukan Belanjawan tahunan seharusnya dapat mendatangkan pulangan besar kepada pertumbuhan ekonomi menjana pendapatan rakyat dan negara.

Dengan itu, keberkesanan program dan projek kerajaan perlu dipertingkatkan lagi supaya setiap wang awam yang dibelanjakan dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.