PUTRAJAYA – Sambil menahan air mata, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan suara sayu meminta maaf secara terbuka kepada kakitangan Kementerian Belia dan Sukan kerana mereka terheret sama dalam situasi getir politik yang melanda negara baru-baru ini.
Ketika berucap di hadapan para pegawai kanan kementerian tengahari tadi, bekas menteri itu menganggap tempoh seminggu krisis politik yang lalu telah mendewasakan dirinya dengan pengalaman politik selama 10 tahun.
“Maafkan saya kerana minggu ini dalam pelbagai jenis cabaran dan rintangan yang negara hadapi kalian yang ada di tempat tersebut untuk mengharunginya dan tanpa kalian mustahil negara ini kekal aman.
“Bagaimanapun, khidmat awam anda secara berintegriti menyebabkan anda tidak terjerumus dalam masalah besar.
“Sebagai kakitangan awam yang berkhidmat, itu bukan salah anda, sebaliknya kami yang bertanggungjawab heret anda semua dalam masalah ini. Maka maafkanlah saya,” katanya sempena majlis perpisahan ringkas di kementerian itu hari ini.
Turut hadir ialah bekas timbalan menteri, Steven Sim.
Menurut Syed Saddiq, beliau bangga dengan kematangan dan keterbukaan semua pegawai dan kakitangan di kementerian yang menerima beliau dan Steven Sim dengan hati terbuka walaupun tahu mereka masih muda dan tidak berpengalaman.
“Walaupun kami berusia muda sangat serta tidak berpengalaman, anda yang mendampingi kami dan mengajar kami sebagai satu keluarga mengharungi dan berjaya dalam setiap misi yang digalas serta pelaksanaan dasar.
“Saya tidak kisah sesiapapun yang bakal mengisi kerusi kami nanti, harap memberikan sokongan dan kerjasama yang sama disertai kasih sayang kepada pegawai kakitangan dari atas hingga ke bawah di KBS ini melampaui fahaman politik.
“Banyak lagi saya fikirkan untuk melaksanakannya minggu ini tetapi ada sedikit sakit hati tidak dapat meneruskannya lagi,” ujarnya.
Beliau memuji kerjasama setiap pegawainya dalam KBS yang menjadi barisan hadapan menjayakan dasar umur mengundi kepada 18 tahun dan umur belia ditetapkan sehingga 30 tahun.
Syed Saddiq juga mengakui beliau sedih terpaksa meninggalkan KBS separuh jalan tanpa melaksanakan segala perancangan yang disusun untuk belia dan atlet sepenuhnya.
Menurutnya banyak perkara yang beliau tidak sempat melaksanakannya dan terpaksa meninggalkannya di separuh jalan disebabkan krisis politik mengejut yang melanda sejak seminggu lalu sekali gus mengubah segala-segalanya.
“Sedih kerana ada banyak perkara (tidak sempat) diteruskan seperti yang dirancang bagaimanapun saya rasa bangga dan dihargai kerana para pegawai awam KBS menunjukkan sikap dedikasi yang penuh bertanggungjawab.
“Sepanjang konflik selama seminggu ini mereka bergerak dalam self driving mode dan berjaya mengharungi segala cabaran itu dengan pengetahuan dan kemahiran yang ada itu yang sangat membanggakan saya.
“Jika situasi sama berlaku di negara lain saya tidak pasti apakah ia terkawal tetapi penjawat awam kita di KBS membuktikan sebaliknya dengan kebolehan yang mereka miliki bijak menguruskan segala-galanya dan merekalah hero,” katanya.
Menurutnya, atas komitmen tinggi itulah beliau sanggup mengelak foto beliau dan timbalannya tidak digantung di dinding sebaliknya kakitangan yang cemerlang digantung di dinding pejabat sebagai pengiktirafan.
Syed Saddiq juga berkongsi pengalaman yang paling tidak dapat dilupakannya apabila air mata atlet yang sedih dan berjaya dalam platform mereka.
“Bila berjaya semua gembira, tapi kita tidak boleh lupa ada juga atlet yang tidak berjaya.Yang tidak berjaya, kita mendampingi mereka dan dengar keluhan mereka itu memori indah yang tidak dapat dilupakan kerana ia menunjukkan mereka memberi kerjasama sepenuh hati untuk negara.
“Saya belajar satu yang bermakna dari atlet kita iaitu kegagalan sementara itu dapat dicurahkan kepada kejayaan yang akan datang.
“Dan Insya Allah untuk atlet negara yang bakal membawa misi pingat ke Olimpik Tokyo 2020 nanti saya akan bersama mereka untuk memberi sokongan sebagai pelancong di sana dan mahu melihat mereka berjaya dan harumkan nama negara.
“Saya berjaya memastikan sentiasa ada dana tambahan untuk pembangunan belia dan atlet kita dan akan sentiasa mengikuti progres mereka walaupun bukan berstatus menteri selepas ini kerana mereka adalah hero membawa nama negara dan saya rasa bangga diberi peluang berkhidmat untuk mereka selama ini,” ujarnya.-MalaysiaGazette
















