Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir pada perbicaraan 47 pertuduhan kesnya melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini  menerima permohonan maaf daripada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan insiden ketiadaan mesyuarat politik bersama Perdana Menteri seperti  dikatakannya semalam untuk memohon penangguhan perbicaraan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata beliau menerima permohonan maaf ikhlas tertuduh dan percaya apa yang berlaku semalam berpunca daripada salah faham.

“Setelah menilai penjelasan daripada tertuduh saya percaya apa yang berlaku semalam berpunca daripada miscommunication (salah faham).

“Tertuduh juga telah membuat permohonan maaf dengan ikhlas,” katanya.

Hakim juga mendapati tiada unsur menghina mahkamah, justeru Zahid bebas daripada tuduhan tersebut namun hakim tetap memberi amaran agar perkara yang sama tidak lagi berulang.

Presiden UMNO itu sebelum penghakiman, membuat permohonan maaf di hadapan hakim dan berkata beliau tidak berniat menghina mahkamah apabila meminta perbicaraan terhadapnya ditangguhkan untuk mengadakan pertemuan politik dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Saya dengan ini minta maaf  tidak berniat menghina mahkamah,” katanya.

Beliau walaubagaimanapun memaklumkan tidak dapat membawa surat arahan pertemuan yang dikatakan dikeluarkan daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri semalam kerana individu itu ujarnya masih belum mengangkat sumpah untuk memulakan tugas secara rasmi.

Untuk rekod, perbicaraan kes Zahid pada sebelah pagi semalam ditangguhkan apabila peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakilinya memberitahu mahkamah anak guamnya perlu menghadiri mesyuarat bersama Muhyiddin bagi membincangkan pembentukan Kabinet.

Artikel berkaitan: Kes Zahid tangguh kerana mesyuarat bentuk Kabinet baharu

Bagaimanapun, pada sebelah tengah hari, pihak Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menafikannya dan berkata Perdana Menteri hanya dijadualkan bertemu dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan ketua jabatan dan agensi bagi menyelaraskan perjalanan pentadbiran kerajaan.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan hari ini.

Artikel berkaitan: Selepas PMO keluar kenyataan, mahkamah panggil semula Zahid

Susulan itu, mahkamah pada 4 petang memanggil semua pihak untuk prosiding sebutan bagi mendengar penjelasan Ahmad Zahid.

Peguam bela Zahid kemudian menjelaskan bahawa Zahid memang hadir ke Putrajaya, namun dimaklumkan Perdana Menteri terpaksa bergegas pulang ke Muar.

Namun pihak pendakwaan bertegas untuk memohon Zahid dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah.-MalaysiaGazette