Isteri Da'i Farhan, Noorainul Naqim Mohd Radzi diiringi Anggota Polis bagi menghadapi pertuduhan penipuan urusan sijil halal KKM di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Isteri Da’i Farhan, iaitu Noorainul Naqim Mohd Radzi mengaku tidak bersalah di mahkamah hari ini atas tuduhan menipu wang seorang wanita untuk mendapatkan sijil halal dan kelulusan Kementerian Kesihatan bagi produk keluaran wanita tersebut.

Mengikut pertuduhan, Noorainul, 41, didakwa telah mendorong Norsiha Aala menyerahkan wang sebanyak RM10,050 kerana mempercayainya mampu mendapatkan sijil halal dan kelulusan daripada KKM.

Kejadian itu berlaku pada 21 Disember 2017 hingga 26 Februari 2018 di Kelompok Nuri B, Taman Keramat Wangsa.

Farhan hadir bagi mengikuti pertuduhan penipuan urusan sijil halal KKM melibatkan isterinya, Noorainul Naqim Mohd Radzi di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 MAC 2020

Ketika dibacakan pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Majistret sebentar tadi, isteri pendakwah bebas itu menganggukkan kepalanya tanda faham.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang mana jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, selain denda dan sebatan.

Majistret Wong Chai Sia kemudian menetapkan wang jaminan RM4,000.

Wang jaminan itu akan dibayar oleh Farhan atau Nik Ahmad Farhan Nik Muhamad, 31.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon Mahkamah Majistret meletakkan nilai jaminan sebanyak RM10,000 namun peguam yang mewakili tertuduh, Shaik Abdullah meminta jumlah dikurangkan kerana tertuduh menanggung seluruh keluarga termasuk lapan orang anak.

Untuk rekod, semalam polis menahan Noorainul di pejabatnya Desa Keramat berdasarkan laporan yang dibuat oleh Norsiha pada Oktober 2017.

Sebutan kes ditetapkan pada 3 April 2020. -MalaysiaGazette