Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO mendesak akhbar, The Guardian memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, akhbar itu juga perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana melibatkan YDPA dalam pelantikan Perdana Menteri kelapan pada Ahad lalu.

Annuar tidak menolak kemungkinan terdapat warga Malaysia menggunakan media asing untuk tujuan tertentu.

“Akhbar UK, the Guardian harus memohon maaf kepada SPB YDPA dan Malaysia atas penulisan editorial akhbar tersebut yang mengeluarkan berita bersifat separuh gila” katanya melalui akaun Twitter hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas ruangan pendapat akhbar itu bertajuk: The Guardian view on a royal coup: a king overturns a historic election (Pandangan The Guardian terhadap rampasan kuasa DiRaja: Seorang raja hapuskan sejarah pilihan raya) yang disiarkan semalam.

Annuar juga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat perkara tersebut.

Artikel the Guardian yang memaparkan pendapat yang mempersoalkan tindakan YDPA dalam pelantikan PM kelapan Malaysia.

“PDRM patut menyiasat perkara ini. berkemungkinan ada “badut” tempatan menggunakan media asing bagi tujuan tertentu,” dakwanya. – MalaysiaGazette