KUALA LUMPUR- Seramai 35 kanak-kanak berusia lapan hingga 17 tahun telah menghadiri sesi rundingan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung isu-isu yang berlegar sekitar si cilik itu.

Antara yang dibangkitkan adalah hak untuk berehat dan melakukan aktiviti masa lapang serta tidak mahu dimalukan di hadapan kelas jika tidak menyiapkan kerja sekolah.

Mereka juga meminta hak privasi diberikan termasuk tidak berkongsi gambar kanak-kanak tanpa keizinan, kata Pesuruhjaya Kanak-Kakak Suhakam, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal dalam satu kenyataan di sini.

Rundingan yang turut dihadiri oleh 10 wakil Majlis Perwakilan Kanakan-Kanak termasuk tiga kanak-kanak berkeperluan khas, seorang anak Orang Asli dan seorang pelarian itu juga menyuarakan kebimbangan mereka terhadap jumlah kes bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak yang semakin meningkat.

Kes-kes tersebut katanya, berlaku akibat harapan ibu bapa yang terlalu tinggi yang mahukan anak-anak mendapat markah tinggi, di samping berlakunya kes buli.

Malah terdapat kes disebabkan oleh kaunseling yang tidak efektif dan kaunselor yang mengambil mudah isu kerahsiaan pelajar.

Kes buli juga dibangkitkan termasuk hukuman yang dicadangkan terhadap pembuli. Ia merangkumi juga jika pembuli adalah dalam kalangan guru sendiri.

Kanak-kanak tersebut membangkitkan isu kebanyakan sekolah adalah tidak mesra OKU, selain meminta penggunaan e-buku kepada pelajar OKU.

Isu kandungan media juga dibangkitkan yang mana menurut mereka terlalu banyak adengan ganas dalam filem semasa, selain landasan media sosial seperti Tik Tok yang menggalakkan kanak-kanak perempuan berpakaian dan menari secara tidak sopan.

Kumpulan kanak-kanak itu juga menuntut hak sama rata untuk bersekolah dan institusi pengajian tinggi tanpa sebarang didiskriminasikan.

Menurut Suhakam, cadangan-cadangan tersebut akan dibawa ke pengetahuan pihak yang bertanggung jawab.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast