Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB), melalui anak syarikat milik penuhnya, Tenaga Wind Ventures UK Ltd (Tenaga Wind), telah membeli baki 20% kepentingan dalam dua syarikat tenaga boleh diperbaharui di United Kingdom pada nilai GBP18.6 juta (RM99.5 juta) secara tunai pada 2 Mac 2020.

Pembelian GVO Wind Limited dan Bluemerang Capital Limited adalah seperti Perjanjian Pembelian Saham yang dipersetujui bersama bersama vendor, Georg von Opel dan Tanzanite B.V. & Catalin Breaban, pada 28 Februari 2018.

Dengan pembelian ini, TNB kini memiliki 100% aset dan kawalan ke atas kedua-dua syarikat dan aset masing-masing melalui Tenaga Wind.

Syarikat-syarikat ini adalah portfolio Feed-In-Tariff (FiT) angin terbesar di UK, yang merangkumi 53 turbin angin sederhana yang beroperasi di darat dengan kapasiti keseluruhan ebanyak 26.1MW.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembelian terbaharu itu akan menjadi asas perniagaan tenaga diperbaharui (RE) TNB di peringkat antarabangsa dan akan menjadi pencetus kepada strategi pertumbuhan TNB di pasaran RE di Eropah.

“Pembelian ini sejajar dengan strategi kami untuk mengembangkan perniagaan RE yang memanfaatkan aset, kemampuan dan pengalaman yang sedia ada.

“Strategi ini melibatkan TNB memperluas peranannya dalam landskap dan rantaian nilai RE, termasuk pembangunan, pemilikan, operasi dan pengurusan portfolio aset RE,” ujarnya.

Menurut beliau, pembelian terdahulu sebanyak 80% kepentingan telah menyumbang secara positif kepada kewangan dan objektif strategik TNB.

TNB secara aktif menguruskan aset ladang angin tersebut sejak pembeliannya pada tahun 2018.

Aset-aset tersebut telah menunjukkan prestasi positif dengan menyumbang EBITDA sebanyak RM76 juta (GBP14.4 juta) pada tahun 2019.

Aset-aset tersebut telah menunjukkan pertumbuhan margin EBITDA yang memberangsangkan, daripada 62% kepada 74% pada 2019. – MalaysiaGazette