Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab.Aziz
Prof. Dr. Shamrahayu Ab. Aziz

KUALA LUMPUR – Dakwaan mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan secara ‘royal coup’ disifatkan melampau dan menghina institusi diraja di negara ini, kata pakar perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Shamrahayu berkata, segala tindakan diambil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan krisis politik negara baru-baru ini, adalah berpandukan kuasa yang diperuntukkan kepada Seri Paduka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan Perkara 43 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan, secara jelas menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik seorang Perdana Menteri, yang pada hemat Seri Paduka mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia adalah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, yang tidak sama dengan sistem di negara-negara lain.

“Kenyataan ‘royal coup’ telah menghina institusi diraja di Malaysia dan mencabar kedaulatan negara,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, sebuah akhbar dari United Kingdom seolah-olah menggambarkan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan, sebagai ‘royal coup’. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast