KUALA LUMPUR- Berita baik kepada mereka yang ada saman trafik.

Ini kerana melalui penyertaan artis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), para pengunjung Malaysia Travel Fair kali ini boleh mendapatkan diskaun 50 peratus saman.

Selain itu, pesta pelancongan yang bakal diadakan pada 13-15 Mac ini dijangka mampu mencatatkan jualan sebanyak RM220 juta di sebalik kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Travel Fair, Datuk Mohd. Khalid Harun menjangka jumlah pengunjung juga tidak jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Pasti ada impak Covid-19 tetapi jika sebelum-sebelum ini Malaysia Travel Fair mencatatkan110,000 pengunjung ke atas tetapi pada tahun ini kami menjangkakan sekurang-sekurangnya 100,000 pengunjung akan menghadiri pesta ini.

“Ini kerana kami memanggil 12 artis yang mana mempunyai pengikut ramai selain penyertaan julung kali PDRM yang turut menawarkan diskaun 50 peratus kepada semua saman trafik yang dibayar di kaunter dalam pesta pelancongan Malaysia Travel Fair.

“Selain itu, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM1,000 diberikan kepada mereka yang membeli pakej pelancongan tempatan yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dijangka menarik perhatian rakyat Malaysia,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Tambah Khalid, bagi memastikan keselamatan pengunjung di samping memberi keyakinan terhadap mereka yang bimbangkan penularan Covid-19, pihak sekretariat akan bekerjasama dengan World Trade Centre Kuala Lumpur dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan pesta tersebut berlangsung dalam keadaan terjaga dengan menyediakan hand sanitizer di sekitar tapak pameran.

Ketika ditanya mengapa Malaysia Travel Fair tetap diteruskan ketika kebanyakan penganjur menangguhkan program mereka, Khalid berkata, mereka mahu mengambil peluang ini untuk menyahut cabaran kerajaan yang telah mengumumkan insentif kepada pengusaha pelancongan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

Malaysia Travel Fair kali ini memberi fokus kepada pelancongan domestik terutama ketika Malaysia masih lagi dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast