Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai .

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan agar kerajaan baharu yang sedang dibentuk mewujudkan dasar yang lebih menjamin pembangunan negara dengan tidak membebankan rakyat.

Antara cadangan itu ialah mengaktifkan penggantungan sementara terhadap cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selama enam bulan serta pengecualian Cukai Keuntungan Industri Korporat dan Swasta (RPGT) dalam tempoh setahun untuk memulihkan kembali perkembangan ekonomi dalam negara.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, Gerakan turut mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak melaksanakan Cukai Keuntungan Modal untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap negara.

Katanya, daripada segi penurunan kos sara hidup, Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengesyorkan pelaksanaan semula GST, tetapi dengan kadar 3 peratus ke bawah, manakala cukai korporat juga harus dikurangkan pada kadar antara 16 peratus hingga 18 peratus.

“Memandangkan negara kita sedang menghadapi wabak Covid-19, Parti Gerakan Rakyat Malaysia menasihatkan supaya pelancaran insurans kepada seluruh rakyat dengan peruntukan perubatan sebanyak RM5,000 tanpa kira usia dan kelas dapat dijalankan.

“Selain itu, dalam sektor pendidikan pula, Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyarankan agar diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam dapat diberikan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Dominic, kerajaan baru perlu membuktikan prestasi dan ketelusan dengan mewujudkan mekanisme pencapaian KPI agar rakyat boleh membuat penilaian terhadap kewujudan kerajan baru itu.

Dalam pada pada itu, beliau berharap agar kerajaan baru dapat memberikan manfaat lebih baik kepada rakyat berbanding kerajaan dahulu. – MalaysiaGazette